Sunday, April 1, 2012

Skim Pembiayaan Khas Rumah PPR & PA (isu pelaburan EPF dalam skim tersebut)

LATARBELAKANG RINGKAS:

Pada 2009, di atas permintaan rakyat yang menghuni perumahan awam (PA) dan projek perumahan rakyat (PPR), pihak Kerajaan telah bersetuju untuk memberi pilihan kepada penyewa-penyewa untuk membeli rumah tersebut. Unit rumah yang terbabit dalam permintaan ini adalah 44,146 unit.

Rakyat merasakan setelah sekian lama membayar sewa, mereka ingin pula memiliki rumah tersebut. Bagi pihak Kerajaan pula, adalah wajar rakyat diberi peluang memiliki rumah tersebut sebagai aset yang boleh ditinggalkan kepada waris keluarga satu hari kelak.

Malangnya, sejak 2009, hanya 4,988 penyewa sahaja yang berjaya membeli rumah mereka samada melalui pinjaman bank atau bayaran tunai.

Kelompok yang lebih besar gagal mendapatkan pinjaman bank kerana tidak dapat mematuhi prosedur dan terma bank swasta. Antara lain sebab-sebabnya adalah juga kerana mereka tidak memiliki rekod pendapatan mahupun slip gaji.

Beberapa perbincangan diadakan antara pihak Kerajaan dan wakil-wakil bank, namun Kerajaan tidak dapat memaksa bank swasta memberikan terma khas kepada penyewa-penyewa ini membeli rumah mereka.

Maklumbalas daripada pihak bank juga menjelaskan yang bank tidak begitu tertarik memberi pinjaman untuk rumah kos rendah melainkan dikenakan kadar faedah yang tinggi. Ini kerana kos operasi bank swasta adalah masih tinggi walaupun untuk pinjaman kecil. Di sini, pihak Kerajaan harus hormati juga objektif perniagaan bank-bank swasta.

Namun begitu, bagi pihak Kerajaan, kelompok rakyat yang gagal mendapat pinjaman ini mempunyai rekod bayaran yang baik kerana mereka telah bertahun-tahun membayar sewa dengan sempurna dan tiada tunggakan bersama DBKL.

Malangnya, rekod bersih ini tidak dapat digunapakai untuk pihak bank swasta.

Satu skim khas diwujudkan di luar sistem perbankan untuk membantu golongan rakyat ini untuk akhirnya memiliki satu aset rumah demi kesejahteraan masa depan mereka.

Pada 2011, cadangan skim khas telah diwujudkan dan mendapat kelulusan awal dari Jemaah Menteri.

Rundingan telah berlangsung dengan pihak KWSP sebagai pelabur utama dalam skim ini. KWSP menjelaskan ia hanya akan bersetuju melabur jika terdapat jaminan 100% atas pelaburan ini dan juga kadar pulangan minima 5.5% bagi KWSP.

Dato Raja Nong Chik bin Raja Zainal Abidin selaku Menteri di Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) telah bertindak mengadakan perbincangan bersama pegawai kanan KWPKB dan DBKL untuk mengenalpasti cara terbaik memenuhi terma KWSP ini, disamping juga memperkasakan objektif memenuhi hasrat rakyat dan memastikan satu situasi yang win-win (semua pihak bermanfaat) bagi DBKL, KWSP, pemegang akaun KWSP dan rakyat secara amnya.

DBKL akhirnya bersetuju memberikan jaminan 100% atas pelaburan KWSP di mana pihak DBKL bersetuju untuk membeli kembali rumah-rumah di mana peminjam telah gagal melunaskan bayaran ansuran mereka.

Setelah mendapat jaminan ini, pihak KWSP akhirnya bersetuju membuat pelaburan awal RM300 juta dengan menikmati pulangan 5.5% yang TERJAMIN 100% oleh pihak Kerajaan.

Pelaburan ini disalurkan ke Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan Berhad (SPWP), sebuah syarikat tujuan khas milik penuh Yayasan Wilayah Persekutuan dan bawah pengawasan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Bakal peminjam membuat permohonan dan pinjaman daripada SPWP dan bukannya KWSP. Kadar keuntungan yang dikenakan SPWP adalah 6.5%, di mana 5.5% disalurkan kembali kepada KWSP dan SPWP mengambil hanya 1% sebagai kos operasi.

Skim pinjaman ini bukanlah untuk satu skim kebajikan perumahan bertujuan untuk golongan miskin tegar, tetapi untuk golongan rakyat yang sudahpun menyewa rumah PPR dan PA, di mana mereka menunjukkan prestasi bayaran sewa yang baik dan menyatakan kesanggupan mereka membeli rumah sewaan mereka ini buat diri dan keluarga mereka.

Untuk membantu golongan miskin mendapatkan perumahan, sudah sedia ada pelbagai mekanisme dan institusi membantu golongan ini di bawah jabatan-jabatan Kerajaan yang berkaitan.

Skim pinjaman ini adalah satu alternatif untuk bakal pembeli, mereka masih mempunyai pilihan untuk meminjam daripada sumber-sumber lain termasuk bank swasta.

Skim ini menawarkan pinjaman 100 peratus nilai pembelian rumah, tanpa cagaran, berdasarkan pinjaman Islam berkonsepkan “Ijarah Muntahiyyah Bittamlik” pada kadar keuntungan tetap 6.5% dengan jangkamasa pinjaman maksima 25 tahun.

Fakta

Skim dijamin Kerajaan Malaysia 100%.

Tidak ada isu kerugian untuk institusi pelaburan seperti KWSP.

Nilai rumah dijual pada kadar RM35,000 sedangkan nilai pasaran semasa adalah 2 kali ganda atau lebih. Ini berbeza dengan krisis sub-prima di mana bank-bank Amerika Syarikat membuat pelaburan yang spekulatif atas nilai pasaran masa depan yang akhirnya tidak menjadi kenyataan.

Fakta

Pelaburan ini memenuhi objektif keuntungan KWSP sendiri yang merasakan pelaburan terjamin 100% dengan keuntungan 5.5% adalah lebih baik dari instrumen pelaburan seperti bon pelaburan Kerajaan yang hanya memberikan lebih kurang 4% pulangan.

Keuntungan terjamin 100% ini pastinya menguntungkan pemegang akaun EPF di akhirnya.

Fakta

Skim ini telah diluluskan Jawatankuasa Pelaburan KWSP bawah kuasa yang ada padanya di bawah Akta EPF 1991.

Fakta

Dengan pengwujudan skim ini, Kerajaan BN diakui oleh pakar pelaburan sebagai berjaya memperkenalkan satu ruang pelaburan yang selamat dan menguntungkan buat KWSP serta semua pencarum. Disebabkan skim yang inovatif dan penuh manfaat inilah pihak Pembangkang mula merasa khuatir dan terpaksa membuat tuduhan untuk mengaburkan mata rakyat kepada kebaikan ciri-ciri skim ini.

Pelaburan ini memenuhi objektif keuntungan KWSP sendiri yang merasakan pelaburan terjamin 100% dengan keuntungan 5.5% adalah lebih baik dari instrumen pelaburan seperti bon pelaburan Kerajaan yang hanya memberikan lebih kurang 4% pulangan.

Keuntungan terjamin 100% ini pastinya menguntungkan pemegang akaun EPF di akhirnya.

Serentak juga, rakyat yang mendiami PPR dan PA memiliki peluang untuk mendapatkan pembiayaan yang adil dan saksama demi memiliki hartanah yang diidamkan mereka dan keluarga.

Fakta

Skim ini adalah kesinambungan Program Penjualan Rumah PPR dan PA DBKL yang telah lama dirancang dan diminta penduduk sendiri. Skim ini sudah mengambil masa dua tahun perancangan dan pengkajian skim ini sebelum kelulusan oleh Jemaah Menteri pada 2011. Skim ini bukan tiba-tiba sahaja dibuat tahun 2012 ini kerana menghampiri pilihanraya ke-13.

Fakta

Skim pembiayaan khas ini membolehkan pemilik mendapat pembiayaan sehingga 25 tahun dan merancang pemilikan penuh mengikut kemampuan pemilik sendiri tanpa perlu menanti hingga 20 tahun untuk memanfaatkan pelaburan dalam aset hartanah mereka.

Fakta

Kediaman ini dijual pada rakyat pada kadar rumah kos rendah iaitu RM35,000. Namun, nilai pasaran semasa dijangka adalah sekurang-kurangnya RM85,000. Bayangkan berapa nilai aset ini 20 tahun dari sekarang.

Ini adalah satu pelaburan dalam aset hartanah yang sudah menguntungkan serta-merta.

Tidak harus timbul soal ‘soft-loan’ 2.2% kerana pemilik sudah keuntungan besar lebih kurang RM50,000 pada detik pembelian.

Pemilikan aset ini boleh dianggap sebagai pelaburan hartanah di Kuala Lumpur untuk manfaat keluarga mereka di hari ini dan masa depan.

Fakta

Sejak 2008 hingga Mac 2012, Pakatan Rakyat di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang LANGSUNG TIDAK PERNAH mengujudkan sebarang skim pembiayaan rumah kos rendah.

Sejak 2008 hingga Mac 2012,, TIDAK SEORANG PUN Menteri Besar atau ahli exco di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang mengumumkan apa-apa tentang cadangan ‘sewa-hingga-milik’.

Nurul Izzah Anwar sewenang-wenangnya menabur janji manis tanpa sebarang komitmen pun daripada pemimpin di negeri-negeri Pakatan Rakyat sendiri.

TIDAK SEORANG PUN Menteri Besar dari negeri pentadbiran Pakatan Rakyat yang tampil ke hadapan menyokong Nurul Izzah dalam janji manis ini.

Sememangnya, skim seperti yang dicadangkan Nurul Izzah adalah membebankan Kerajaan Negeri dan akhirnya yang kerugian adalah rakyat lain yang membayar cukai.

PERKEMBANGAN LAIN

Kenyataan Akhbar membantah skim ini telah dikeluarkan wakil DAP, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan wakil PKR, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar pada 6 Februari 2012.

Memorandum Bantahan mendesak KWSP membatalkan skim ini telah dihantar ke KWSP oleh wakil DAP Tony Pua dan wakil PKR Nurul Izzah Anwar pada 6 Februari 2012.

Tindakan Tony Pua dan Nurul Izzah ini menyebabkan reaksi marah daripada penduduk PPR dan PA.

Pada Feb 10 2012, Majlis Gabungan Persatuan-persatuan Penduduk di bawah naungan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di mana bernaungnya 81 persatuan penduduk mewakili 700,000 penduduk PPR dan PA telah membantah tindakan Tony Pua dan Nurul Izzah dan menghantar memorandum kepada KWSP menyatakan sokongan mereka kepada skim ini dan merayu KWSP tidak membatalkan skim tersebut.

Menyedari mereka telah menyebabkan kemarahan rakyat, Tony Pua dan Nurul Izzah mengubah rentak dan tiba-tiba pada Feb 12 membuat satu cadangan alternatif kepada skim ini.

Malangnya, cadangan mereka ini adalah bersifat reaksi dan tersasar jauh dari dasar dan niat asal skim ini diujudkan. Ini kerana mereka tidak memahami isu dan situasi kewangan sebenar golongan rakyat yang terlibat.

Perlu dinyatakan sekali lagi, skim khas ini adalah untuk golongan berpendapatan rendah, mampu bayar, sudahpun menyewa di PPR dan PA serta mempunyai rekod bayaran sewa yang baik dengan DBKL.